1 2 3 4 5

Ahad, 14 September 2014

BAGAIMANA KITA HARUS BERPAKAIAN?

Persoalan yang selalunya sukar bagi anak-anak muda generasi Y untuk menjawabnya. Kalau disarung pakaian formal, dikatakan orang terlalu 'skema'. Jika disarung baju T kolar bulat dan dipadan dengan seluar pendek, digelar kurang beradab pula.

Susahnya memilih pakaian untuk dipakai! Bagaimana harus kita berpakaian?

1. Siapakah orang yang akan kita berhadapan?

Ini adalah tips paling mudah dan utama untuk diamalkan. Ketahuilah siapakah orang yang akan kita temui dan berpakaian hampir seperti cara orang itu berpakaian. Mengapa? Hal ini adalah untuk memberi ilusi bahawa kita berada pada taraf yang sama atau hampir sama dengannya sekaligus akan menjadikannya lebih selesa dengan kita. 

Sebagai contohnya, sekiranya kita akan makan malam bersama dengan ahli perniagaan atau ahli politik, pakailah baju batik. Sekiranya kita akan bertemu dengan anak muda, memadailah kita memakai baju T kolar bulat dipadankan dengan seluar jeans untuk personaliti yang lebih mudah didekati oleh mereka.

2. Apakah aktiviti yang akan dilakukan?

Tips kedua ini juga perlu diambil kira dalam memilih pakaian yang bertepatan untuk digayakan. Kita perlu tahu apakah aktiviti yang akan dilakukan agar pakaian yang dipadankan adalah bersesuaian dan tidak menjadikan kita kelihatan janggal dan serba tidak kena serta kelihatan tidak selesa ketika aktiviti berlangsung. 

Sebagai contohnya, jika aktiviti yang akan dilakukan adalah aktiviti luar (outdoor) yang memerlukan kita aktif bergerak, jadi padankanlah baju T, seluar trek dan kasut sukan yang padan.

Pernah bayangkan sekiranya seorang gadis berbaju kurung bermain boling? Tersangatlah tidak kena dan tidak sesuai untuk aktiviti tersebut, bukan?

3. Bagaimana anggapan orang yang kita mahukan?

Tips yang ketiga ini lebih kepada taktik pemasaran diri. Kita sekali lagi bermain dengan perspektif manusia yang seringkali membuat tanggapan di setiap pertemuan. Adakah ianya mengambil kesempatan? Sebenarnya ia lebih kepada memanfaatkan kefahaman terhadap cara manusia berfikir dan membuat keputusan.

Sekiranya kita ingin kelihatan kaya dan berjaya di hadapan orang lain, pamerkanlah imej dengan pakaian yang berjenama mahal serta mewah. Mereka tidak akan pernah tahu berapa banyak nilai pelaburan, nilai simpanan apatah lagi nilai aset yang kita miliki. Tetapi apa yang pasti mereka tahu berapa harga jenama-jenama yang kita padankan.

Sekiranya kita ingin memaparkan imej bahawa kita adalah orang yang terpelajar dan bijak, mungkin kita boleh padankan baju kemeja (Corak jalur, petak atau kosong), berseluar khakis dan dipadankan dengan cermin mata berbentuk profesional. Wah, sudah kelihatan seperti watak doktor di dalam televisyen. 

Banyak lagi tentang imej yang boleh dihuraikan dan disebabkan perlunya kefahaman terhadap imej yang mendalam, Twins Group menyediakan kursus imej dan penampilan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat dengan ilmu berkaitan penampilan. Sekiranya kita bereksperimentasi buta-buta sahaja peluang untuk kita bergelar mangsa fesyen adalah sangat tinggi. Berhati-hatilah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan