1 2 3 4 5

Isnin, 14 Oktober 2013

Salam Aidiladha


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Pertama, TWINS Group ingin mengucapkan Salam Aidiladha kepada seluruh umat Islam yang meraikannya di seluruh dunia. Semoga Allah mengurniakan rahmat-Nya kepada kita.

Perayaan Aidiladha sangat sinonim dengan pengorbanan. Pengorbanan ternyata memberi erti dan nilai yang tidak mungkin dapat diukur dengan kata-kata. Untuk berjaya dengan cemerlang juga kita perlu berkorban. Berapa ramai dalam kalangan kita yang sanggup berkorban untuk kejayaan?

Untuk berjaya cemerlang setiap individu perlu membayar nilai sebuah pengorbanan. Sebagai contoh Nabi Muhammad SAW juga banyak melalui pelbagai cabaran sebelum beliau berjaya menegakkan syiar Islam dengan cemerlang.

Untuk kita berjaya dengan cemerlang, kita perlu berkorban dari segi masa. Kita perlu memastikan masa kita dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Hal ini demikian kerana masa adalah terhad dan sekiranya ia disia-siakan kita akan rugi. Kita perlu menganggap bahawa masa yang kita gunakan untuk kejayaan adalah satu pelaburan yang bakal membuahkan hasil.

Selain itu, kita perlu berkorban tenaga. Tenaga kita perlu disalurkan sebanyak mungkin untuk kejayaan. Semakin banyak tenaga yang kita gunakan ke arah kejayaan, semakin mudah untuk kita berjaya dengan cemerlang. Orang yang berjaya tidak pernah mengenal erti putus asa. Bagaimana kita tahu kita akan berjaya atau tidak pada masa hadapan sekiranya kita berputus asa hari ini?

Di samping itu, wang ringgit perlu dikorbankan untuk mencapai kejayaan. Ada kalanya kita perlu menggunakan wang ringgit untuk menyelesaikan atau melaksanakan usaha dalam mencapai kejayaan. Walaupun wang ringgit bukanlah segala-galanya tetapi wang ringgit boleh membantu kita untuk lebih berjaya. Jangan sesekali kita takut dan gusar untuk membelanjakan wang ringgit demi kejayaan.

Sebenarnya nilai pengorbanan adalah amat mahal untuk dibayar oleh setiap insan yang inginkan kejayaan. Ada yang menganggap pengorbanan sebagai satu penyeksaan. Namun, harus disedari juga bahawa pengorbanan ini akan berbaloi setelah kejayaan dapat dikecapi pada masa hadapan.

Bak kata pepatah Melayu, "Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian". Ingatlah bahawa orang yang mengalah tidak akan menang dan orang yang menang tidak akan mengalah. Yakin dan percayalah, "alah bisa tegal biasa".

Jangan sesekali gusar untuk berkorban dan hargailah nilai sebuah pengorbanan.

Salam sayang,
UMI LAILA BINTI ABDUL RAUAF
Pengarah Urusan,
Twins Resources Management






Tiada ulasan:

Catat Ulasan